Wednesday, October 20, 2010

Perangkap Haram Dalam Rezeki 'Halal'


MASJID JAME' KAJANG...



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dua minggu lepas, saya ada menerima email dari seorang kawan yang juga menerima nya dari kawan lain dan kawan tersebut menerimanya dari orang lain. Mula-mula baca tak berapa perasan sebab ingat macam email berantai je tapi bila baca berulang kali saya mula terperasan akan isi kandungan email tersebut.Ianya merupakan perbualan dua sahabat yang di tulis semula dan diedarkan untuk tatapan dan renungan semua . Banyak nasihat didalam nya samada yg tersirat atau tersurat.

Dibawah ini saya copy /paste email perbualan tersebut.Korang bacalah sampai habis.Kisah nya berkisar mengenai Haram dan Halal.


KADANG-KADANG BERTANYA JUGA HATI ..ADAKAH AIR YG KU MINUM INI DARI SUMBER YG HALAL?

Perangkap Haram Dalam Rezeki 'Halal'

"Tak kan kerja yang saya buat sekarang ni tak halal?"

"Eh, kenapa pula tiba-tiba awak merungut ni?"

"Semalam saya minta nasihat seorang ustaz... biasalah tentang masalah anak-anak. Macam-macam panduan diberikannya. Tapi yang tak berapa sedap tu, akhir-akhir sekali ustaz tu berpesan, teliti betul-betul rezeki yang kita berikan kepada anak-anak. Halal atau sebaliknya," katanya.

"Oh, tentang pengaruh rezeki terhadap hati dan sikap anak-anak?" Celah saya.

"Bukan itu kemusykilan saya. Itu dah lama saya faham. Rezeki yang halal membentuk hati yang bersih dan sikap yang baik. Begitu juga rezeki yang haram, membentuk hati yang kotor dan sikap yang buruk. Tapi yang menimbulkan tanda tanya... kenapa ustaz tu menyentuh soal halal-haramnya rezeki sedangkan dia tahu saya bekerja sebagai pegawai di jabatan kerajaan. Agaknya dia ni parti pembangkang tak?" Tebaknya tiba-tiba.

"Isy, awak ni, ramai anggota parti pembangkang pun bekerja dengan kerajaan..." saya menafikan.

"Saya agak, saya faham apa maksud sebenar ustaz tu," kata saya.

"Ada yang tersirat?"

"Taklah tersirat sangat, cuma kita perlu berhalus lagi... Dalam yang halal pun kekadang terselit yang haram dan syubhat," jelas saya.

"Ni yang saya suka dengan awak. Mesti ada dimensi berbeza... Maksud awak?"

"Maksud saya, walaupun jenis kerja dan tempat kerja kita memang halal, tetapi ada juga kerja-kerja haram yang boleh memerangkap kita di situ. Misalnya, curi masa... Ramai orang gunakan waktu pejabat buat 'bisnes' peribadi. Berniaga sambil bekerja. Tak kurang yang curi tulang... tidur atau berbual-bual kosong di kantin dalam jangka waktu yang lama...."


KALAU SUMBER MAKANAN HALAL TAPI BELI DENGAN DUIT YG DI RAGUI HALAL...HALALKAH IA?

Saya lihat mukanya berubah.

"Kalau macam tu, ada juga sikit-sikit saya buat... lagi?"

"Gunakan harta organisasi untuk kegunaan sendiri. Bawa balik kertas, alat tulis, kenderaan hak jabatan ke rumah dan lanyak macam harta sendiri. Begitu juga perbuatan membazirkan sumber tenaga di tempat kerja. Elektrik, air dan sebagainya digunakan tanpa berhemat... Itu menjejaskan 'kehalalan' rezeki yang kita dapat."

"Apa bidang kerja awak sebagai pegawai di jabatan kerajaan?"

"Eh, besar juga. Dah lama saya di situ. Luluskan lesen, tender dan kontrak pun ada juga saya terlibat."

"Itu lagi perlu berhati-hati."

"Sorry... yang haram-haram tak main le," guraunya.

"Betul tak haram subjeknya. Tetapi prosesnya macam mana?" Pintas saya serius.

Saya menyambung, "Apa pertimbangan kita dalam meluluskan kontrak dan menganugerahkan tender kepada sesuatu pihak... Mesti berdasarkan kemampuan, reputasi dan kompetensi. Bukan kerana dia adik-beradik, saudara-mara dan sahabat kita."

Mukanya berubah lagi.

"Atau lebih parah lagi kalau kita ada syarikat sendiri yang kita 'proksi'kan kepada orang lain lalu syarikat itulah yang kita anugerah tender atau sesuatu kontrak. Itu rasuah namanya."

Tak tergamak pula saya nak meneruskan percakapan... mukanya benar-benar berubah.

"Tapi salah ke kita buat 'part time'?"

"Tak salah. Asalkan benar-benar 'part time'. Hujung minggu, waktu cuti apa salahnya. Ini memanfaatkan ruang. Yang salah ialah kerja pejabat jadi part time, kerja sendiri jadi full time."

"Kalau campur-campur?"

"Tulah jadinya... yang halal pun campur-campur jugalah."

"Lalu jadi haram?"

"Tak arif saya nak menghukum. Tapi bertanyalah pada hati sendiri..."

"Hati lagi? Macam mana tu?"

"Macam mana rasa hati kita sewaktu melakukan kerja-kerja negatif tu. Kalau ada rasa bersalah, rasa tak 'clear', itu tandanya fitrah kita terusik. Itu juga petanda apa yang kita buat itu dosa atau setidak-tidaknya syubhat."

"Oh, jadi belum confirm dosa lagilah... Baru syubhat."

Saya diam. Saya tenung wajahnya.

"Awak nak anak awak jadi benar-benar soleh ke atau sekadar baik sikit-sikit?"

Dia diam.

"Atau jahat sikit-sikit?"

Dia diam lagi.

"Inilah maksud ustaz tu, teliti soal rezeki..."

"Tapi kata orang sekarang, kalau kita tak ambil peluang, orang lain ambil peluang. Sampai bila kita nak berada di takuk lama," celahnya tiba-tiba.

"Maksud awak?"

"Kita juga nak rumah besar, kereta yang selesa..."

"Mana penting, rumah besarkah atau isi rumah tangga kita? Kereta mewah ke atau pemandu dan penumpangnya? Percayalah, harta kita ialah anak-anak dan isteri kita... mereka itulah yang perlu kita didik dan pimpin jadi soleh dan solehah."

Dia diam agak lama. Kemudian dia merenung saya dengan mata tidak berkedip.


WANG BUKANLAH SEGALA-GALANYA, TETAPI DALAM DUNIA INI SEGALA-GALANYA MEMERLUKAN WANG.
MANUSIA BOLEH TERANG MATA KERANA WANG, TETAPI BOLEH JUGA GELAP MATA KERANA WANG.

"Baru sekarang tersingkap di minda saya, rupa-rupanya dalam pekerjaan yang halal ada juga perangkap yang haram dan syubhat. Payah benar mendapat rezeki yang benar-benar halal," ujarnya.

"Sebab itu payah benar mendapat isteri dan anak yang soleh dan solehah sekarang ni."

"Rupa-rupanya kesalahan yang kita buat kepada syarikat atau jabatan akan kembali semula dalam bentuk keburukan kepada keluarga kita."

"What you give, you get back. Kita bagi baik, dapat baik. Begitulah sebaliknya."

"Jadi, apa jalan keluar bagi sesiapa yang dah terlanjur?"

"Pulangkan, bayar semula dan ganti kembali apa yang tercuri, terguna dan terbuang... Dan hentikan perbuatan negatif itu serta-merta."

"Wah sukarnya..."

"Selain itu, keluarkan zakat. Zakat itu mekanisme pembersihan harta... untuk membersihkan diri. Kerja atau usaha halal yang bercampur-baur dengan elemen negatif dapat dibersihkan dengan mengeluarkan zakat. Tapi kalau harta curi... mana layak dikeluarkan zakat? Hanya harta yang halal, justeru yang halal pun boleh tercemar."

"Awak tahu apa masalah anak saya yang saya minta nasihat dari ustaz tu?"

Saya menggelengkan kepala.

"Taklah besar. Bukan mencuri. Bukan membuli. Tapi anak-anak saya suka sangat membazir dan bermewah-mewah... Selera dan citarasanya semakin keterlaluan. Tapi tu kecil aje kan?"

"Tak kecil tu. Itu simptom awal penyakit cinta dunia. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Daripada situlah timbulnya pelbagai sifat mazmumah seperti pemarah, ego, hasad, gila puji dan sebagainya. Dia belum mencuri kerana segala-gala masih ada... awak masih mampu memberinya. Dia belum membuli... kerana dia belum berkuasa, awak masih mampu mengawalnya."

Dia diam. Saya diam. Namun hati saya terus berkata, cukuplah dikira seseorang itu berdosa, apabila dia tidak merasa berdosa... ...PERBUALAN INI TAMAT DISINI.



..............................///////..............................................///////......................................................

Adakah anda termenung,? saya pun termenung jugak.......


Adakah minda anda terbukak, minda saya pun terbukak jugak.....

Perkara halal dan haram berada di mana-mana ,berlegar disekeliling kita,kadang-kadang boleh dibezakan tetapi kadang-kadang susah juga nak di bezakan...


Ada perniagaan tu memang sah HARAM tetapi menjadi HALAL bila diberi lesen.
Ada tu perniagaan yang dilakukan HALAL pada pandangan kita tapi menjadi HARAM sebab tiada label HALAL.Pening kita dibuatnya...saya bukan ustaz yang menentukan hukum...tapi ada juga belajar tentang bab ini sewaktu kecil dan remaja dulu dengan ustaz dan melalui buku-buku agama...

Bagi saya kalau nak mudah ,ikut apa yang disuruh agama islam,yang HALAL kita ambil ,yang HARAM kita buang dan kalau ragu-ragu tinggalkan saja,kalau tak yakin tanya pada orang yang arif..jangan kita memandai-mandai sendiri......wassalam.


INGAT BANG..BIAR GAJI KITA SEDERHANA ASALKAN HALAL....
INSYALLAH ABAH INGAT....UMI JANGAN RISAU..DOAKAN ABAH SELAMAT PERGI DAN BALIK KERJA...

No comments:

Post a Comment